Thursday, 28 June 2012

CINTA HIGH CLASS BELI ONLINE!



Fatimah Syarha memang seorang wanita yg hebat, Saya pengikut setia blog beliau..

Http://sebarkanbahagia.blogspot.com



Cinta high class bukan ekslusif milik sesiapa. Cinta high class berhak dimiliki oleh kita semua. Jangan tunggu esok. Hari ini juga kita mesti mencintai secara high class. Jangan lupa, bantu si dia agar mampu mencintai secara high class juga.

Err, apa itu cinta high class?

Cintamu mendaulatkan Allah nombor satu,
Cintamu padaku kerana Allahmu yang satu,
Cintamu bermujahadah menahan nafsu.

“Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik).” (HR al-Tarmizi).

Saya terfikir, wanita dan lelaki saling tertarik. Itu biasa. Malah ketertarikan yang kuat ini turut dirasai oleh binatang jantan dan betina. Begitulah cara Allah menjamin berterusannya kehidupan di dunia.
Wanita dan lelaki saling jatuh cinta. Itu juga biasa. Islam menolak sistem yang cuba menghapuskan terus fitrah ini seperti merahibkan diri. Islam menawarkan solusi iaitu pernikahan untuk menyalurkan fitrah menjadi barakah.
Wanita dan lelaki sanggup berkorban segala-galanya demi cinta. Itu luar biasa. Tapi boleh membawa binasa. Tanpa asas agama, maruah diri sanggup dikorbankan sekali. Islam menutup pintu-pintu yang membawa kekejian untuk melindungi lelaki dan wanita daripada punca-punca keghairahan dan pencetus fitnah.
Wanita dan lelaki bercinta selepas nikah, saling melengkapi agama pasangannya. Ini jauh luar biasa. Dan ini barulah high class.  
Jika belum menikah, cinta menjadi high class apabila teruna dan dara saling tinggi mujahadah.  Bantu si dia memahami dengan mengurangkan perjumpaan dan komunikasi. Ianya atas dasar urusan dan keperluan sahaja dengan menjaga syarat dan batasan.
Jika di luar batas urusan, mintalah fatwa dari hati. Kebaikan itu apa yang tenang dalam hati. Dosa itu apa yang was-was dan syak dalam hati. Nikmatilah indahnya saat menahan, bila halal, penuh keterujaan.
Saya cuba memahami, mawar dan kumbang berbeza untuk saling melengkapi. Mereka saling jatuh cinta kerana perbezaan itu. Lelaki sukakan sifat kewanitaan seorang wanita. Wanita sukakan sifat kelelakian seorang lelaki.
Lelaki dan wanita bagaikan botol dan penutupnya. Bagaikan elektron dan proton. Bagaikan baju dan seluar. Bagaikan sepasang selipar. Saling memerlukan.
Bukti saling memerlukan ini akan menjadi luar biasa dan high class jika diluapkan kepada insan istimewa bernama suami atau isteri, bukan untuk teman wanita atau teman lelaki. 
Kenapa ianya high class?
Itu tanda patuhi Allah.
Itu tanda jauhi fitnah.
Itu tanda sebuah mujahadah. 

‘Jodohku, aku tidak tahu dirimu siapa dan entah di mana. Aku cuma tahu engkau ada, di dunia atau di syurga. Akan kusimpan perasaan ajaib ini. Akan kuluapkan untukmu setelah akad menghalalkan kita.’ (Monolog Qani'ah Syumaila dalam novel Cinta High Class).

Tuesday, 19 June 2012

Dana KecemasaN


Apakah yang dimaksudkan “Dana Kecemasan”?
.
“Dana kecemasan” biasanya adalah satu dana yang anda cipta untuk membayar perbelanjaan diluar jangkaan. Sebagai contoh:
  1. Tayar-tayar kereta anda perlu ditukar dengan yang baru.
  2. Rumah anda penuh dengan anai-anai dan memerlukan rawatan.
  3. Anak anda mempunyai masalah apendiks dan memerlukan pembedahan.
  4. Gigi geraham anda perlu dicabut.
  5. Tiba-tiba syarikat anda bankrap.
.
Senarai ini boleh berterusan panjangnya dan anda mungkin tidak mengalami hanya satu daripadanya, tetapi kesemuanya serentak! Itulah masanya “hujan lebat”!
.
.
Mengapa Saya Perlu Ada “Dana Kecemasan”?
.
Sepertimana yang dikatakan oleh Forrest Gump dalam filemnya “Life is like a box of chocolates… you’ll never know what you’ll get!” (“Hidup ini seperti sekotak coklat... anda tidak akan tahu apa yang anda akan dapat!”) Kehidupan setiap orang mempunyai turun naiknya, hari cerah dan hari hujan. Apabila anda menyimpan untuk waktu kecemasan, anda melindungi diri anda dan keluarga anda. Anda bersedia untuk situasi-situasi yang tidak diduga, pasa waktu itulah anda memerlukan lonjakan tambahan “Vitamin M” (duit kecemasan).
.
Amat mudah untuk terperangkap dalam hutang (lebih-lebih lagi hutang kad kredit dan “Ah Long”), jika anda tidak mempunyai duit simpanan. Anda tetap mahu membayar bil dan memastikan hutang kad kredit sentiasa rendah walaupun ketika sesuatu yang tidak diduga berlaku ke atas anda.
.
Oleh kerana tiada siapa yang tahu masa hadapan, semua orang memerlukan dana kecemasan.
.
Bagaimana saya boleh menyimpan, sedangkan saya tidak mempunyai banyak duit?
.
Anda mungkin berfikir yang tiada baki duit yang dapat disimpan selepas membayar semua bil. Ramai orang, tidak kira berapa banyak duit yang mereka ada, mengatakan mereka tidak dapat menyimpan. Itu adalah kerana perbelanjaan biasanya meningkat sehingga ia menggunakan semua duit lebihan anda.
.
Namun, hanya anda sahaja yang boleh mengubah keadaan ini. Begini caranya:
.
  1. Cipta satu “akaun simpanan automatik” yang membolehkan anda mengeluarkannya ketika kecemasan
  2. Turunkan perbelanjaan anda dengan hidup secara bijak
  3. Tetapkan beberapa syarat untuk menggunakan duit, iaitu syarat yang BENAR-BENAR ketat!
  4. Cuba sehingga anda berjaya tetapi jangan putusa asa!!
.
Apakah yang dimaksudkan “Bayar Diri Anda Sendiri Terlebih Dahulu”?
.
Pada kebanyakan masa apabila kita mendapat gaji, kita mula membayar untuk itu dan ini, dan kepada orang lain terlebih dahulu, hanya selepas itu kita menyimpan bakinya. Ini adalah terbalik. Ia adalah duit anda dan anda berhak menyimpan sebahagiannya untuk diri dan keluarga anda.
.
Jangan berputusa asa jika anda hanya dapat menyimpan sedikit. Menyimpan satu Ringgit sehari atau RM10 seminggu, mungkin tidak banyak tetapi dihujung tahun, anda akan mempunyai RM365 atau RM520. Seperti pepatah Melayu ada mengatakan,“Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit!” Adalah lebih baik untuk menyimpan sedikit setiap minggu daripadacuba menyimpan dengan banyak dan gagal.
.Jadi, kuncinya ialah menjadikan tabiat menyimpan duit setiap kali mendapat gaji. Apabila anda menyimpan terlebih dahulu, anda akan dapat memastikan perbelanjaan mengikut baki duit yang ada. Jika anda tidak nampak duit, anda tidak berpeluang untuk membelanjakannya. Seperti yang dikatakan, “Out of sight, out of mind!” (“Apa yang tidak dapat dilihat, tiada dalam minda!”).
.
.
Berapa banyak yang patut saya simpan?
.
Sebagai garis panduan, sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda. Walaubagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang dapat dilakukan selalu. Adalah lebih baik bermula dengan jumlah yang anda selesa dan secara perlahan-perlahan menuju ke arah matlamat itu. Sudah tentu jika anda boleh simpan lebih, itu adalah lebih baik.
.
Matlamat anda adalah untuk mencipta dana kecemasan yang cukup untuk tiga ke enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Anda boleh melakukannya dengan cuba menyimpan perbelanjaan seminggu, kemudian dua minggu dan secara perlahan bertambah kepada sebulan dan seterusnya.
.
Ingat: Mendapat tabiat meyimpan adalah lebih penting daripada berapa banyak yang anda simpan!
.
.

Di manakah saya patut menyimpan “Dana Kecemasan” saya?
.
Dana kecemasan anda patut disimpan dalam satu akaun yang senang untuk anda keluarkan dalam waktu-waktu kecemasan. Namun ia tidak patut menjadi terlalu senang untuk anda menggunakannya dengan sesuka hati anda. Anda mungkin memilih untuk membuka Akaun Simpanan dengan bank tetapi memilih untuk tidak memiliki kad ATM. Alternatifnya, anda juga boleh memilih untuk melabur sebahagian darinya ke dalam dana Amanah Saham kerajaan. Pilih dana yang memastikan keselamatan kepada kapital anda sementara memberikan pulangan yang berpatutan.
.
Apabila anda mendapat pendapatan, ingat untuk membayar diri anda sendiri terlebih dahulu. Cara yang mudah untuk melakukan ini ialah dengan berdaftar dengan skim potongan gaji. Anda boleh mengarahkan majikan anda atau bank anda untuk menyimpan sebahagian daripada gaji anda ke dalam akaun simpanan/amanah saham anda setiap bulan. Ingat bahawa akaun ini adalah untuk kecemasan sahaja dan seboleh yang mungkin, anda tidak akan menggunakannya untuk tujuan lain!
.
.
Bagaimana saya boleh tahu bila “Dana Kecemasan” dapat digunakan?
.
Keputusan ini bergantung pada situasi anda. Anda perlu memikirkan hal ini dengan lebih awal. Masih ingatkah perbincangan kita tentang menetapkan syarat? Buat beberapa syarat untuk situasi yang anda boleh gunakan duit ini, supaya anda tidak membazirkannya. Kemudian patuhi syarat-syarat anda sendiri!
.
Soalan-soalan berikut mungkin boleh membantu anda dalam menetapkan beberapa syarat:
.
  1. Adakah perbelanjaan ini satu Keperluan atau Kehendak?
  2. Adakah saya benar-benar perlu membelinya hari ini?
  3. Apa yang akan berlaku jika saya tidak membelanjakannya sekarang?
  4. Bolehkah saya mendapat pengganti yang lebih murah?
  5. Adakah cara lain untuk saya membayar perbelanjaan ini tanpa perlu berhutang?
  6. Jika saya menggunakan duit ini hari ini, bagaimana perasaan saya tentang keputusan
    saya ini pada bulan depan?
.
Sentiasa ingat bahawa ini adalah “Dana Kecemasan” anda dan jika ia bukan kecemasan, anda tidak akan menyentuhnya! Tiada alasan!
.
Kesimpulan
.
Terdapat satu lagi pepatah Melayu yang mengatakan bahawa kita patut sediakan payung sebelum hujan. “Dana Kecemasan” ini adalah payung kita dan pastikan ia cukup besar untuk melindungi anda apabila hujan (tetapi pastikan tidak ada kebocoran!)
.
Jadi, mula bina dana ini sekarang dan ia mungkin penyelamat anda suatu hari nanti.
.
.

AmalkaN ForMuLa S.E.B.E.L.A.S


S– Simpan untuk diri (dan keluarga) anda dahulu!

Jika dahulu, anda kerap memperuntukkan gaji bulanan untuk membayar bil, hutang, membeli barang dan sebagainya terlebih dahulu, pada tahun 2011, berikan keutamaan kepada menyimpan wang untuk diri sendiri dahulu (Pay Youself First). Tidak kira dalam jumlah yang kecil atau besar, pastikan anda menyimpan dan melaburkan duit untuk diri (dan keluarga) secara konsisten. Anda boleh bermula dengan RM50 sebulan (lebih banyak lebih bagus), kemudian tambahkan jumlah simpanan anda pada tahun-tahun berikutnya.

E – Elak pembaziran (Economise)

Bezakan antara barang-barang keperluan dan kehendak. Sebagai contoh, anda tidak perlu membeli barangan bayi yang berjenama mahal jika jenama yang sederhana atau murah mampu memenuhi keperluan si comel. Tambahan pula, kebanyakan pasar raya besar sekarang menyediakan “house brand” yang berkualiti tinggi pada harga yang amat berpatutan.

B – Bajet

Buat bajet, tulis dan patuhinya! Sesetengah ibu bapa gemar membuat bajet secara kasar atau “dalam kepala” sahaja, terutamanya semasa hendak membeli barang. Ini cara yang tidak berapa tepat. Sebaik-baiknya, tulis apa yang ingin dibelanjakan dan lebih penting lagi, patuhi bajet yang telah dibuat tersebut. Anda perlu berdisiplin dalam berbelanja dan membuat bajet adalah langkah yang sangat penting. Jika tidak membuat bajet, besar kemungkinan anda akan mengalami kesukaran menguruskan kewangan sendiri dan keluarga.

E – Elak emosi semasa membuat keputusan berkaitan kewangan.

Perkara ini tidak dapat dinafikan terutamanya apabila anda mempunyai wang lebihan (contohnya mendapat bonus). Macam-macam perkara yang akan terlintas difikiran anda- kereta baru, perabot baru, bercuti dan sebagainya. Sekiranya anda mendapat wang lebih, pastikan anda menyimpan sebahagian daripadanya dan selebihnya digunakan untuk melangsaikan hutang sedia ada. Inilah masa terbaik untuk anda melangsaikan segala hutang kad kredit anda sekaligus. Jangan berlengah lagi dan bayar segala hutang-piutang yang ada. Percaya atau tidak, hidup anda akan menjadi tenang jika anda sudah melangsaikan hutang.

L – Libatkan si kecil

Sering kali, ibu bapa tersalah anggap bahawa anak kecil tidak mampu memahami konsep kewangan. Tanggapan ini tidak tepat kerana sedar atau tidak, biasanya si kecil memang tahu meniru cara dan kelakuan ibu bapa mereka. Oleh itu, libatkanlah anak-anak dalam hal-hal kewangan anda. Salah satu cara mudah yang boleh dilakukan ialah dengan membawa anak-anak ketika menjalankan transaksi kewangan. Contohnya, bawa anak-anak bersama apabila anda pergi ke bank. Dengan cara ini, anda dapat membentuk tabiat menabung dan menyimpan daripada usia muda lagi.

A – Awasi skim pelaburan tidak sah.

Mungkin anda sudah tahu yang melabur adalah cara terbaik untuk mengembangkan wang sedia ada. Melaburlah dengan pihak-pihak yang berlesen dan berwaspada dengan pelbagai skim cepat kaya atau skim pelaburan tidak sah yang terdapat di pasaran. Sekiranya sesuatu syarikat menawarkan untung berlipat kali ganda dan mendakwa tiada risiko yang terlibat jika anda melabur dengan mereka, mungkin itu adalah syarikat yang tidak sah. Pastikan anda memeriksa sama ada sesuatu syarikat itu berlesen ataupun tidak dengan menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan. Ingat, dapatkan sebanyak mungkin maklumat sebelum menyerahkan wang titik peluh anda kepada mana-mana pihak.

S - Sediakan dana kecemasan

Dana kecemasan merujuk kepada sejumlah wang yang anda peruntukkan untuk digunakan sekiranya berlaku apa-apa musibah/kemalangan yang tidak diingini. Biasanya, anda dinasihatkan untuk mempunyai dana kecemasan sebanyak tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Dengan wujudnya dana kecemasan, anda akan berupaya mengharungi segala masalah berkaitan kewangan dengan tenang dan terkawal. Dana kecemasan yang mencukupi juga akan memastikan cara hidup kita tidak terganggu sewaktu menghadapi masalah kewangan.

Wednesday, 13 June 2012

Kayak

canoe polo canoe



Bila sebut sahaja pasal kayak,of course mengingatkan daku pada Perlis...Sukan Kayak merupakan salah satu sukan adventure yg plg aku minat zaman2 belajar dulu..Aku minat habis dengan sukan ni sebab boleh bersiar2 kemana sahaja aku suke.. Aku bukannya suka sukan setempat yang tak bergerak.. Dah banyak tempat aku main kayak.. Aku pergi main kayak dekat tasik putrajaya, sungai Perlis, Pulau Melaka, Pantai Dan Yang Paling2 best berkayak dekat Pulau Perhentian...Cantik giler..Macam dekat gambar atas tue la lebih kurang...Sukan kayak ni kalau dah belajar sampai pandai korang takkan rasa takut lagi bila main..Kalu jatuh tengah2 laut pom ada teknik untuk korang naik semula atas kayak tue..Kalau main ramai2 lagi seronok...Sesaper yg takut cahaya matahari tak leh laaa main sukan ni,sebab mmg confirm korang burn punye!! hahaha..Time dekat Unimap dulu aku antara orang yg pandai handle sukan nie..Ada la pengalaman sikit3 time camping zaman sekolah dulu...Siap kene jadi wakit unimap turun bertanding dekat Tasik Putrajaya lagi..Time g bertanding dekat sana la paling best dan memori yg tak bulih aku padam dari kepala otak aku nie...

Monday, 11 June 2012

Hamboi3hh Khusyuk + Manja Yg Melampau nih!!


Surah Al-Kahfi Di Malam JumaaT




Terdapat beberapa kelebihan khusus yang telah disebut oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bagi sesiapa yang membaca surah al-Kahfi.  Antara kelebihannya ialah pengampunan dosa di antara Jumaat dengan Jumaat jika dibaca pada hari Jumaat dan dijauhi fitnah al-Masih ad-Dajjal jika menghafal 10 ayat terawalnya.  Berikut adalah beberapa hadith mengenai kebaikan surah al-Kahfi:

1.  Abu Sa`id al-Khudri radhiAllahu `anhu beliau berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat, maka ALLAHterangi ia dengan cahaya diantara dua Jumaat.”  
(HR al-Hakim dan Baihaqi, disahihkan oleh al-Albani)

2.  Daripada Ali yang meriwayatkan daripada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika keluar dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya” 
(Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5:355)

3.  Daripada Abu al-Darda’ bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, pasti terlindung daripada dajjal”. 
(HR Muslim 809)


Surah al-Kahfi mempunyai 110 ayat. Ia merupakan surah Makkiyah. Di dalamnya terdapat mesej-mesej aqidah yang didatangkan sebahagiannya dalam bentuk cerita. Antara cerita atau penjelasan kisah yang dibawa di dalam surah ini ialah tentang kisah beberapa pemuda Ashabul Kahfi yang mempertahankan aqidah mereka tatkala diburu oleh pemerintah yang zalim, kisah si kafir yang memiliki dua kebun dan sahabatnya seorang yang beriman kepada ALLAH, kisah Nabi Musa dan Khidir, dan kisah Dzulqarnain membantu kaum yang berhadapan dengan masalah yang ditimbulkan oleh Yakjuj dan Makjuj.

Surah ini juga mengajar ummat Islam agar apabila berjanji, hendaklah mengatakan “in sha’ ALLAH”. Ia suatu kalimah yang sangat penting. Antara asbab turunnya beberapa ayat di dalam surah al-Kahfi ialah kerana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ditanya oleh orang-orang musyrik tentang 3 perkara iaitu kisah Ashabul Kahfi, kisah Dzulqarnain dan tentang ruh. Namun, wahyu tidak turun kerana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam tidak menyebut “in sha’ ALLAH” tatkala berjanji untuk menjawab tiga persoalan tersebut. Selepas beberapa ketika dan agak lama menunggu wahyu, akhirnya turunlah ayat yang menyuruh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menyebut “in sha’ ALLAH” tatkala berjanji, diturunkan sekali jawapan-jawapan dari ALLAH tentang 3 persoalan tersebut.

Monday, 4 June 2012

KisaH PerCinTaaN Ini~~

Dalam satu kisah percintaan yang menarik, sepasang suami isteri berjalandi tepi sebuah tasik yang indah. Kemudian mereka berhenti di sebuah bangku yang disediakan di tepi tasik. Si isteri lalu bertanya kepada suaminya.Ini dialog mereka:
Isteri : " Mengapa abang menyukai saya? Mengapa abang cintakan saya?"
Suami :" Abang tidak boleh menerangkan sebabnya, namun begitu abang memang menyayangi dan mencintai Sayang!"
Isteri : " Abang tak boleh terangkan sebabnya? Bagaimana abang boleh katakan abang sayang dan cintakan saya tetapi abang tidak boleh menerangkannya?".
Suami : " Betul! Abang tak tahu sebabnya tetapi abang boleh buktikan bahawa abang memang cintakan Sayang!".
Isteri : "Tak boleh beri bukti! Tidak! Saya hendak abang terangkan kepada saya sebabnya. Kawan-kawan saya yang lain yang mempunyai suami dan teman lelaki, semuanya tahu menerangkan mengapa mereka mencintai. Dalam bentuk puisi dan syair lagi. Namun begitu abang tidak boleh terangkan sebabnya".
Si suami menarik nafas panjang dan dia berkata : "Baiklah! Abang mencintai Sayang sebab sayang cantik, mempunyai suara yang merdu, penyayang dan mengingati abang selalu. Abang juga sukakan senyuman manis dan setiap tapak Sayang melangkah, di situlah cinta Abang bersama Sayang!"
Si isteri tersenyum dan berpuas hati dengan penerangan suaminya tadi.Namun begitu selang beberapa hari si isteri mengalami kemalangan dan koma.Si suami amat bersedih dan menulis sepucuk surat kepada isterinya yangdisayangi.
Surat itu diletakkan di sebelah katil isterinya di hospital.Surat tersebut berbunyi begini :
"Sayang!Jika disebabkan suara aku mencintai mu... sekarang bolehkah engkau bersuara? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.Jika disebabkan kasih sayang dan ingatan aku mencintai mu...sekarang bolehkah engkau menunjukkannya? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.Jika disebabkan senyuman aku mencintai mu... sekarang bolehkah engkau tersenyum? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.Jika disebabkan setiap langkah aku mencintai mu.... sekarang bolehkah engkau melangkah?Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.Jika cinta memerlukan sebab, seperti sekarang. Aku tidak mempunyai sebab mencintai mu lagi."
"Adakah cinta memerlukan sebab?
Tidak! Aku masih mencintai mu dulu, kini,selamanya dan cinta tidak perlu ada sebab. Kadangkala perkara tercantik dan terbaik di dunia tidak boleh dilihat, dipegang. Namun begitu... ia boleh dirasai dalam hati."
-----------------------------------------------------------

Disebalik Satu KehiduPaN...


" Muna...!" Puan Malihah melaung dari dapur memanggil anak gadisnya yang sedang berehat di dalam biliknya. Tapi sepi...

Muna...! Dok buat ape tu? Tolong kutip kain kat luar tu...! " Puan Malihah sekali melaung. Dia sedang sibuk memasak seorang diri di dapur. Anak gadisnya masih tidak menunjukkan diri. Lantas dia memadamkan api lauk yang sedang dimasaknya dan pergi ke bilik anak gadisnya itu. Dia mengetuk pintu seraya membukanya.

"Ya Allah...! Budak ni tidur rupanya. Macam mayat hidup..." Puan Malihah merungut.

" Muna...! Bangun! Gi kutip kain kat luar tu...kain dah kering tu. Nanti ditiup angin bertaburan pulak atas tanah..." Puan Malihah mengarahkan Muna.

" Isyy....Apala anak dara tidur waktu ni. Bukannya nak tolong mak kat dapur. Tidur pulak...!" Sekali lagi dia bersungut. Muna membentak. Puan Malihah keluar dari bilik Muna sambil mengeluh panjang. Dia terus ke dapur menyambung kerja-kerjanya yang belum selesai. Dia berasa sedih melihat tingkah laku anaknya itu. Anaknya itu sedang belajar di sebuah IPTA swasta dan sedang bercuti di rumah.

Sambil mengutp kain, mata Muna melihat ke arah kawasan perkuburan yang bersebelahan dengan rumahnya. Keluar sahaja dari pintu utama rumah, itulah pemandangan yang Muna lihat saban hari. Muna terlihat ada 2 orang menjengah ke pondok kecil yang dibina di hujung kawasan perkuburan itu. Terdetik di hati Muna " Ada orang meninggal hari ni..." 

Hari itu ada seorang lagi hamba Allah yang telah dijemput bertemu denganNya dan akan disemadikan di `rumah` terakhirnya. Tidak lama selepas itu, datanglah beberapa buah kereta. Lalu keluarlah ahli keluarga si mati mengiringi jenazah. Berbagai ragam yang Muna dapat lihat. Ada yang kelihatan murung. Ada pula yang tidak menampakkan sebarang reaksi. Namun yang cukup menghairankan Ummi, ada yang datang dengan wajah yang ceria. Muna terasa pelik....

Entah mengapa kali ini Muna terasa ingin tahu siapa gerangan yang mati itu.Jadi apabila langit yang pada mulanya mendung seperti nak memuntahkan segala isinya kembali cerah Muna mula mencari-cari Pak Mat si penggali kubur. Muna dah lama kenal Pak Mat. Lagi pula Ros anak pak Mat sekelas dengannya sewaktu di sekolah dulu.

Muna mendapat tahu jenazah yang telah dikebumikan itu seorang lelaki dalam usia awal 30an. Mengikut Pak Mat, lelaki itu telah mati dipanah petir. Yang agak menghairankan ialah keadaan mayatnya ketika dijumpai kakaknya. Biasanya orang yang terkena panahan petir rupanya menakutkan. Tercampak dari tempat terkena panahan. Badan kalau tidak semua pun, tetapi pasti ada bahagian yang akan terbakar dan melecur. Tetapi lelaki ini lain keadaannya. Dia dijumpai dalam keadaan badannya tidak ada sedikit pun kesan melecur atau terbakar. Dan yang pelik lagi arwah dijumpai dalam keadaan dibaringkan mengadap kiblat dan tangannya dalam keadaan qiam. SubhanaLLah.

Mengikut cerita Pak Mat, sewaktu mayat hendak disemadikan cuaca begitu redup dan kelihatan bururng-burung kecil beterbangan berlegar di atas kawasan kuburnya. Dan katanya bau harum dapat dihidu semua yang hadhir pada pagi itu.Muna lalu bertanya kepada Pak Mat adakah dia mengenali si mati sewaktu hayatnya. Kebetulan pak Mat ada talian darah dengan Hamad. Lalu Pak Mat bercerita....

Arwah bernama Hamad. Dia kerja kampung je....Tapi budak bertuah tu masa hidupnya dulu, kerjanya menjaga maknya yang lumpuh. Kira full time la dia jaga mak dia." Pak Mat mula membuka cerita pasal Hamad. Muna hanya mendiamkan diri menantikan cerita selanjutnya dari Pak Mat.

Haa...dialah yang masak, lepas tu suapkan makanan ke mulut emak dia. Semua dia buat sorang. Sampaikan mandi ngan cuci najis emaknya pun dialah yang bereskan. Tiap-tiap hari....Orang tua kalau dah sakit macam tu bukan reti membuang sekali sehari. Kau cuba bayangkan Muna, kalau sehari sampai 3 – 4 kali. Sanggup kau?" Pak Mat mengajukan soalan pada Muna. Terkedu Muna seketika.

Entahlah Pak Mat... " Muna bersuara lemah.

Saya tak dapat nak bayangkan kalau saya di tempatnya. Hebat kesabaran dia ya Pak Mat..." Muna menyatakan kekagumannya perihal Hamad.

Mengikut cerita Pak Mat lagi, Hamad sanggup menjaga ibunya sepenuh masa memandangkan adik-beradiknya yang lain semuanya bekerja. Jadi tentu sukar bagi mereka untuk menjaga ibu tua yang terlantar sakit tidak bermaya itu. Bukan sehari dua Hamad menghambakan diri mengurus ibunya yang sakit itu, tetapi bertahun-tahun lamanya.

Hamad tu masa muda dulu ada buah hati...tapi tulah...dia sanggup tak kahwin.Kesian si Rahimah tu, Dia patah hati ngan sikap Hamad. Dia lari tinggalkan kampung. Tak tau la kat mane doa sekarang ni. Padahal Rahimah sanggup jaga mak arwah. Tapi entahlah...." Pak Mat melepaskan nafas yang panjang. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Lalu menyambung lagi.

Orang kalau dah bercinta, mestilah nak kawin ya tak? Haa....kamu Muna, dah ada pakwe kan? Sanggup kamu melopong je berputih mata lepaskan dia pegi?" Pak Mat cuba mengusik Muna.

Eh! Pak Mat ni ke situ pulak. Saya mana la ada pakwe...Orang hodoh macam saya ni,sape la nak..." Muna cuba mengelak tuduhan melulu Pak Mat. Mereka berdua ketawa seketika...

" Hai...Susah nak cari orang macam Hamad tu. Bukan dia tak ada keinginan. Tetapi kebajikan maknya juga la yang jadi keutamaan."

Tapi kau tau Muna....baiknya arwah bukan setakat mengorbankan masa dia, cinta dia, cita-cita dia untuk menjaga maknya...Belajar cerdik juga si arwah dulu...Tapi tak pernah sape-sape dengar arwah merungut letih ke, penat ke... Malah pernah satu malam tu, masa mak dia nak termuntah, Hamad tadah tangan dia....Mak dia pun muntahlah atas tangan dia." Panjang lebar Pak Hamad bercerita. Muna agak kembang tekak membayangkan situasi itu.

" Ye ke Pak Mat? Masya Allah...patut la banyak petanda baik masa hari pengkebumiannya ya? Saya heran mula tu bila tengok ada orang yang iringi mayat tersenyum semacam je. Rupanya dia mati dalam keadaan yang baik. Tak mudah nak dapat penghargaan macam tu ya Pak Mat?" Muna bersuara.

Mmmm....Anak soleh Muna...Syurga la tempat dia..." Pak Mat mengakhiri bicara.

" Tak pe la Pak Mat, Muna balik dulu ya? Kim salam kat Ros ya? Assalamu`alaikum". Muna menitipkan pesan pada Pak Mat. Sejak tamat persekolahan, sudah agak lama Muna tidak berjumpa denhgan Ros.
Wa`alaikumussalam... Ha yalah....Kamu jalan baik-baik ya!"

Ya lah..." Muna mula berjalan balik ke rumahnya sambil melambaikan tangan ke arah Pak Mat.

Pulang ke rumah Muna terus masuk ke biliknya.Dia berbaring di atas katil. Muna cukup tersentuh mendengar kisah Hamad. Begitulah Allah memuliakan hambaNya yang memuliakan ibubapanya. Mentaati ibubapa adalah perkara yang wajib yang tidak boleh dipandang ringan.

Muna masih ingat apa yang diceritakan oleh Ustaz Zahari dalam kuliah Maghribnya dua malam lepas. Kata Ustaz Zahari dalam satu kisah, seorang sahabat bertanya kepada Nabi Muhammad sallaLLahu `alaihi wa sallam tentang keinginannya mengendong ibunya yang sakit mengerjakan haji. Sahabat itu bertanya adakah perbuatannya itu dapat membalas segala budi yang telah ibunya lakukan dalam membesarkannya. Lalu Nabi berkata bahawa apa yang dia lakukan tidak akan dapat membalas walau sekali teran ketika ibunya melahirkannya ke dunia.SubhanaLLah.

Ustaz Zahari berpesan lagi, nak kata Oh! pun tidak dibenarkan. Jangankan nak tinggi suara atau berkata kasar. Muna merenung kisah sahabat Nabi itu tadi. Melakukan haji bukan perkara enteng. Ianya kerja berat yang memerlukan tenaga fizikal yang cukup mantap. Nak melaksanakannya seorang diri pun dah cukup susah dan memeritkan. Muna pernah dengar susah payah orang yang buat haji dari Mak Longnya. Apatah lagi kalau sambil menggendong. Yang digendong pula bukan anak kecil. Tapi orang dewasa. Muna teringatkan dirinya sendiri. Kalau disuruh mendukung adiknya yang dua tahun di rumah pun, bila lama sikit akan terkeluarlah rungutan penat, letih, sakit belakang lah, macam nak patah pinggang dan macam-macam lagi. Tengok lah tadi. Nak kutip kain pun perlu disuruh. Tapi Muna cuba bayangkan sahabat Nabi tadi. Dia nak gendong ibunya. Tetapi walaupun begitu, Nabi tetap berkata perbuatannya itu tak dapat nak merangkumi semua yang telah dilakukan ibunya kepadanya.

Air mata kesedaran mula menitik di pipinya yang gebu. Muna teringat pamplet yang telah diberi kepadanya oleh Ustaz Zahari tentang menghormati ibubapa. Dia mengeluarkannya dari begnya dan membacanya kembali.

Besarnya kedudukan ibubapa di sisi Allah. Kita tidak bakal mendapat redho Allah kalau kita tidak mendapatkan redho kedua ibubapa kita. Dan kita perlu membuat kebaikan pada ibu 3 kali lebih dari bapa. Ketaatan pada mereka maksudnya taati mereka selagi mana mereka tidak menyuruh kita berbuat dosa pada Allah. Menggembirakan hati mereka apabila panggilan mereka kita sahuti dengan Ya! Lalu berlari mendapatkan mereka serta bertanya apa yang mereka kehendaki.Tidak melengah-lengahkan suruhan mereka dengan "Sekejap la".Malah melakukannya dengan segera dan ikhlas. Menjadi pelajar yang cemerlang akhlak dan akademiknya. Peluang untuk kita membuat kebaikan kepada mereka ini adalah semasa mereka masih hidup. Kalau dah mati peluang kita untuk mengaut untung yang berganda-ganda yang telah Allah janjikan bagi mereka yang bergelar 'Anak Soleh'.

Muna lantas bangun dan mencari ibunya di dapur. Dia terus memeluk ibunya dari belakang.
Mak....maafkan Muna mak...!"Muna bersuara dalam esakan.
Puan Malihah terpinga-pinga.... 

Suara Azan Yg Memanggil Kamu!!


Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan melaungkan azan, mengakui bahawa 'Allah Sahaja Yang Patut Disembah dan Nabi Muhammad Adalah pesuruh Allah'.
Dimulakan dengan Indonesia yang terletak di bahagian timur dengan ratusan kepulauannya dan jumlah penduduknya seramai lebih 200 juta orang.
Sebaik masuk waktu Subuh, azan mula berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan bilal yang akan melaungkan keagungan Allah SWT dan Nabi Muhammad s.a.w.
Proses ini akan bergerak ke arah barat kepulauan Indonesia. Perbezaan masa antara timur dan barat Indonesia adalah satu hingga dua jam.
Belum pun laungan azan di merata Indonesia selesai, ia bermula pula di Malaysia.

Berikutnya di Myanmar dan dalam masa satu jam selepas azan dilaungkan di Jakarta, tiba giliran Dakka di Bangladesh.
Berikutnya laungan akan kedengaran di Culcutta dan terus ke Srinagar di barat India. Perbezaan waktu di bandar-bandar Pakistan adalah 40 minit. Jadi dalam masa ini azan akan berkumandang di seluruh Pakistan.

Belum berakhir di Pakistan, azan akan bermula pula di Afghanistan dan Muscat, Omman.
Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah stu jam. Dalam jangka masa ini azan akan berterusan dilaungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman, Kuwait dan Iraq.

Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik. Jarak masa azan mula dilaungkan di Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik adalah 9 hingga 12 jam.
Belumpun azan subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, azan Zohor kini sudah mula dilaungkan di Indonesia. Ini berterusan bagi setiap waktu sembahyang, tidak putus-putus.
Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam!

Kalaulah setiap kawasan boleh memasang pembesar suara, maka akan bergegar satu dunia dengan laungan Azan yang tidak putus-putus.
Allahu Akbar!!

( Dipetik dari Majalah I keluaran Ogos 2008 )